KUALA LUMPUR 8 Julai – Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming disifatkan pemimpin yang memiliki pemikiran dangkal dan tidak layak bergelar sebagai pemimpin kerana sering mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kepada perpecahan kaum.

Zambri Mohd. Isa

Presiden Gabung­an Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, sebagai seorang wakil rakyat dan peguam, beliau seharusnya lebih peka terhadap persekitaran negara ini yang berbilang kaum dan sewajarnya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Katanya, tindakan beliau mengeluarkan mesej-mesej berunsur provokasi bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang ramai, malah boleh menggugat keharmonian yang dikecapi sejak sekian lama.

“Inilah natijahnya apabila kita salah memilih pemimpin. Beliau sebagai seorang yang berpendidikan tinggi seharusnya memiliki integriti tinggi supaya menjadi contoh kepada rakyat dan bukannya menjadi sumbu api perpecahan.

“Pada ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri beliau sewajarnya memperlahankan rentak politiknya, janganlah sampai hari-hari nak berpolitik. Mana perginya sikap saling menghormati yang sering digembar-gemburkan oleh DAP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen DAP itu memuat naik status dalam akaun Facebook rasminya gambar mengan­dungi bendera Amerika Syarikat untuk menyampaikan ucapan selamat hari raya pada 5 Julai lalu sehingga mengundang kemarahan ramai netizen.

Dalam gambar tersebut tertera ucapan In God We Trust yang di­ikuti imej tangan seperti berdoa dengan berlatar belakangkan rumah api yang dianggap sebagai simbol Kristian.

Mengulas lanjut Zambri berkata, GPMS akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung tindakan tidak bertanggungjawab Kor Ming itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Badan Ayahanda-ayahanda Perak SeMalaysia (Papim), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi mendesak Kor Meng supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Taiping dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang jika benar beliau seorang pemimpin berintegriti.

Jelasnya, tindakan memuat naik gambar yang mempunyai simbol Kristian seakan-akan mahu mempersenda umat dan agama Islam.

“Beliau memang terkenal sering mengeluarkan kenyataan `cetek akal’ untuk meraih publisiti murahan. Ini satu tindakan provokasi yang boleh mengundang kepada pergaduhan antara kaum.

“Saya berharap pihak berkuasa melihat perbuatan ini dan ambil tindakan secepat mungkin bagi membendung gejala seperti itu daripada berulang,” katanya.

 sumber: klik