SEJARAH

Sekitar tahun 1945 hingga 1946, Aminuddin Baki mula menunjukkan minat terhadap persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Manakala, Aminuddin pula telah dilantik sebagai setiausaha.

Pada masa yang sama, beliau telah menubuhkan persatuan pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, beliau telah diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles yang kini merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Di sinilah Aminuddin telah bertemu dengan Abdul Wahab Mohamed Ariff apabila mereka tinggal sebilik. Abdul Wahab pada ketika itu adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Perubatan dan Kolej Raffles, Singapura dan sangat mengambil berat tentang jumlah pelajar-pelajar Melayu di pusat Pengajian Tinggi. Jadi, mereka selalu berbincang mengenai pergerakan pelajar dan akhirnya mereka melahirkan idea menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Antara mereka yang turut memberi sokongan kepada idea ini ialah Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Bermula dengan persidangan yang membabitkan tujuh kesatuan pelajar di Jalan Tambun, Ipoh, satu konvensyen pelajar Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948. Di sinilah satu ketetapan dibuat untuk bersetuju menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atau lebih dikenali dengan singkatan GPMS.

Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura (kolej ini kemudiannya menjadi Universiti Malaya, Singapura selepas bergabung dengan Kolej Raffles). Mereka yang bertanggungjawab mengadakan konvensyen dan menubuhkan Jawatankuasa Sementara GPMS dibarisi oleh Aminuddin Baki (Presiden GPMS 1950-1951 dan 1952-1953), Datuk Paduka Prof. Abdul Wahab Mohamed Ariff (Presiden GPMS 1948-1949), Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

GPMS adalah satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang pertama ditubuhkan di negara ini hasil dari kesedaran akan pentingnya bidang akademik di kalangan anak-anak Melayu. GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan sejak tahun 1950-an lagi. Kegiatan kelas bimbingan ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada pelajar dan masyarakat pada masa itu. Mulai tahun 1960-an, pertubuhan belia negara ini mula menjadikan kelas bimbingan sebagai aktiviti persatuan.

Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti-aktiviti baru dengan mengadakan kursus untuk pelajar. Dalam kursus ini, konsep perkhidmatan masyarakat mula diperkenalkan. Ahli-ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya bergerak mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran ke dalam diri mereka akan peri pentingnya pelajaran sebagai kunci kemajuan bangsa. Sebagai susulan daripada kejayaan program itu, projek Gerakan Obor pula dipergiatkan. Pada tahun 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah tempat di tanah air.

Sejak tahun 1970-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui program siri Ceramah Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan SPM Dan STPM. Zaman terus berlalu, GPMS ikut merintis program-program baru seperti Ceramah Motivasi, Seminar Teknik Pembelajaran Secara Berkesan, Seminar Bimbingan Kerjaya, Peluang Melanjutkan Pelajaran, Kem Pendidikan dan Kem Kerjaya. Segala aktiviti yang menjurus kepada pendidikan mencerminkan perjuangan utama dan iltizam GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan dan organisasi lain yang berusaha meninggikan taraf pendidikan anak-anak bangsa Melayu.

Dalam usianya sudah mencecah 68 tahun, perjuangan GPMS berhasil memperkasakan perjuangan pelajar Melayu yang tidak pernah kunjung padam. GPMS yang mempunyai cawangan dan badan gabungan di seluruh semenanjung berusaha tanpa jemu untuk kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar Melayu demi maruah bangsa dan negara.

Berbekalkan moto ‘Belajar Terus Belajar’, GPMS terus memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. Mudah-mudahan usaha murni ini demi memartabatkan agama Islam, bangsa Melayu dan bumi Malaysia yang tercinta ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.

Kini GPMS terus memberikan sumbangan kepada negara melalui program pendidikan, kebajikan, keagamaan dan kebudayaan. Keseluruhan program tersebut dipadankan dengan tujuan GPMS iaitu ‘menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar  Melayu dari segenap lapisan’.

GPMS dan badan-badan gabungannya berjaya melahirkan pemimpin negara dalam pelbagai lapangan. Antaranya dalam bidang politik lahirlah pemimpin termasuk Y.A.Bhg. Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri Malaysia ke 5), Y.A.Bhg. Tun Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri), Dato’ Mohamed Rahmat, Dato’ Ali Haji Ahmad, YB Hussein Mahmood, YB Dato’ Rosnah Majid (Kedah), YB Dato’ Hasan Malek, YB Dato’ Suhaimi Ibrahim, YB Dato’ Rahman Palil (Selangor), YB Dato’ Abdul Rahman Karim (Melaka), YB Dato’ Sulaiman Shafie (Perlis), YB Datuk Seri Panglima Lajim Ukin (Sabah), Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan ramai lagi.

Dalam perkhidmatan awam pula terdapat tokoh seperti Tun Abdullah Ayob, Tan Sri Abdullah Salleh, Tan Sri Ishak Tadin, Tan Sri Ishak Pateh Akhir, Tun Hanif Omar, Tan Sri Rozhan Kuntom, Tan Sri Sallehuddin Mohamed, Tan Sri Alwee Jantan, Tan Sri Kamaruzaman Shariff, Tan Sri Zainal Ariff, Dato’ Mohd Nor Ismail, Dato’ Mohd Amir Haji Yaakub, Puan Ann Abd. Majeed, Puan Zaharah Mokhtar, Dato’ Mariam Majid dan Dato’ Sehan Awang Ain.

Dalam bidang pendidikan pula, muncul tokoh seperti Prof. Dato’ Dr. Awang Had Salleh, Prof. Farid M. Onn, Prof. Amir Awang, Prof. Dr. Haji Raja Mokhtaruddin Mohd Dain, Prof. Dr. Syed Hussin Ali, Dato’ Prof. Nik Abdul Rashid Majid, Dato’ Paduka Dr. Abd Wahab Mohd Ariff, Tan Sri Nordin Kardi, Dato’ Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah, Dato’ Dr. Ahmad Faiz Abdul Hamid, Dr. Yahya Md. Hassan, Dr. Siti Hawa Kassim dan Dato’ Dr. Sharifuddin Zainudin. Tidak ketinggalan juga dalam bidang penulisan, lahirnya orang-orang GPMS seperti Dato’ M. Noor Azam, Sultan Shahril Lembang, Hashim Amir Hamzah dan Dato’ Jaafar Abdul Rahim.

GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan di negara ini dalam tahun 1950-an. Kegiatan kelas bimbingan mendapat sambutan yang baik daripada pelajar dan masyarakat. Mulai tahun 1960-an badan belia di negara ini mula menjadikan kelas bimbingan sebagai aktiviti persatuan masing-masing.

Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti baharu dengan mengadakan kursus pelajar. Menerusi kursus ini konsep perkhidmatan masyarakat diperkenalkan. Ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya, mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran bahawa pelajaran kunci kemajuan bangsa. Hasil dari kejayaan program itu, projek Gerakan Obor dipergiatkan dan pada 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah tempat di negara ini.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui program siri ceramah teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dan STPM. Pada zaman pembangunan teknologi maklumat ini, GPMS merintis program baharu iaitu siri Ceramah Bimbingan Kerjaya dan Projek Khemah Kerjaya. Segala aktiviti yang menjurus kepada pendidikan menjadi perjuangan utama GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan-badan lain yang berusaha meninggikan taraf pelajaran anak bangsa.

Pada tahun-tahun 1990-an pula, GPMS memberi tumpuan kepada usaha untuk menyusun semula organisasi dan memantapkan lagi perjuangan sesuai dengan perkembangan dan perubahan semasa. Program-program baharu diperkenalkan menerusi Agenda Perdana GPMS yang dikenali sebagai Agenda 20 semasa meraikan ulang tahun GPMS kali ke-50 pada tahun 1998 dengan memberi penekanan kepada kumpulan sasar pelajar yang lemah dan bermasalah, golongan siswa serta anggota masyarakat.

Pada awal tahun 2000, GPMS memperhebatkan aktivitinya dengan melatih seramai 10 orang fasilitator bagi setiap daerah dengan tujuan membimbing dan merancakkan kegiatannya di seluruh negara. Beberapa kajian dan permasalahan yang melibatkan remaja, pencapaian pelajar-pelajar Melayu dilakukan bagi mengenalpasti punca serta mengemukakan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tersebut.

Sambutan Malam Gemilang Adiwangsa 60 tahun GPMS pada tahun 2008 memberi gambaran yang jelas bahawa GPMS tetap relevan selagi mana ilmu dan pendidikan menjadi keutamaan dalam menentukan kemajuan negara. Keutuhan dan kredibiliti GPMS dipertahankan dan dimantapkan dari semasa ke semasa agar seiring dengan kemajuan dunia. Mulai tahun 2009, kepimpinan GPMS bertukar tangan kepada pemimpin yang berumur di bawah 40 tahun mengikut ketetapan Akta 668 – Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007.

Kepimpinan muda ini telah mengorak langkah dengan lebih pantas lagi dengan penambahan cogan kata baharu iaitu “GPMS SINGA PERJUANGAN BANGSA”. Sentiasa diperingatkan jua bahawa perjuangan GPMS bukanlah setakat berani memperjuangkan isu pendidikan dan Melayu dengan hanya membuat kenyataan dalam akhbar, bantahan atau demonstrasi sahaja. Sebaliknya, GPMS mesti berdiri kukuh dengan anjuran program yang mantap dan berterusan serta dapat memberi kesan yang mendalam kepada segenap lapisan pelajar. Justeru, Deklarasi PAT 2010 yang mengandungi 100 Tuntutan

Lambang GPMS sendiri ialah suluh merah putih di tangan yang berwarna merah menerangi peta putih Semenanjung berlatar hijau. Dengan sepotong ayat lambang GPMS membawa makna:

“Dengan hati yang suci murni, kami pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu bersatu berdasarkan keislaman dan kebangsaan, berjuang dengan berani kerana benar, untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa sebagai syarat mencapai kemajuan dan kemuliaan bangsa Melayu.”

Tahun ini (2015), GPMS memasuki usia 67 tahun. Perjuangan GPMS terus kukuh, bergerak untuk setiap zaman selagi “Melayu tidak hilang di dunia”. GPMS yang kini mempunyai 250 buah cawangan dan badan gabungan di seluruh Semenanjung, tidak jemu-jemu menaburkan jasa dan bakti.

GPMS meneruskan semangat pemimpin pengasasnya, Aminuddin Baki. Allahyarham Aminuddin Baki sentiasa menyeru kepada GPMS dan pelajar supaya “Belajar Terus Belajar” supaya tidak berlaku umpama kata orang tua-tua “Itik di air mati kehausan dan ayam di kepok mati kelaparan”.

GPMS kini berdiri gagah sebagai persatuan pelajar peringkat kebangsaan yang tertua di negara ini dan yang banyak berbudi kepada pelajar Melayu. GPMS tetap terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair.

  • GPMS turut menubuhkan PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia)
  • GPMS terlibat dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • GPMS terlibat dalam penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
  • GPMS terlibat dalam penubuhan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan menegakkan Bahasa Kebangsaan.
  • GPMS terlibat dalam penubuhan Majlis Perundingan Mahasiswa Kebangsaan (tahun 1999)
  • GPMS terlibat dalam Perundingan Meja Bulat Pemansuhan Peperiksaan UPSR dan PMR (2010)
  • GPMS berjuang dan mempertahankan hak 500 pelajar Melayu yang mengambil jurusan perubatan di Mesir yang gagal mendapat sebarang bantuan kewangan. (2010)
  • Majlis Belia Malaysia telah mengiktiraf GPMS sebagai pertubuhan belia yang paling berjaya ditransformasikan sejak pertukaran Akta. (2011)
  • GPMS terlibat aktif dalam sidang Dialog Nasional Pendidikan Negara. (2012)