GOMBAK: Lebih 130 pelajar sains kesihatan di Mesir yang mempunyai tunggakan yuran pengajian sudah menghantar borang permohonan mendapatkan bantuan daripada Tabung Pendidikan Pelajar Malaysia inisiatif Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa, berkata tarikh permohonan tabung itu yang sepatutnya berakhir Isnin lalu akan dilanjutkan sehingga Ahad ini selepas menerima maklum balas masih ada pelajar yang mahu menghantar permohonan.

Katanya, selepas daripada itu barulah pihaknya akan mula meneliti permohonan yang diterima dan menapis hanya pelajar yang benar-benar layak untuk diberikan bantuan bagi memastikan tiada penipuan berlaku. “Buat masa ini tumpuan utama kami adalah untuk membantu dua pelajar perubatan dari Mesir yang sudah pun menamatkan pengajian tetapi tidak dapat bergraduasi kerana mempunyai tunggakan yuran berjumlah hampir RM200,000. “Justeru, GPMS akan cuba membantu kedua-dua pelajar ini melangsaikan hutang pengajian mereka dengan universiti masing-masing seawal minggu depan,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Yang turut hadir Presiden Pertubuhan Kebangsaan Ibubapa dan Mahasiswa Perubatan Mesir Malaysia (MUAFAKAT MESIR), Safian Taiyib Hamidin. BH pada 15 September lalu mendedahkan mengenai keadaan 150 pelajar Malaysia di Mesir yang gagal membayar yuran pengajian antara satu hingga dua tahun berjumlah kira-kira RM4.5 juta. Pendedahan itu membawa kepada tindakan pihak kementerian menghantar delegasi ke Mesir bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.

Zambri berkata, jumlah kutipan tabung berkenaan setakat ini adalah berjumlah RM4 juta dan menyeru orang ramai untuk terus menyumbang. Katanya, bantuan kewangan yang diberikan adalah berbentuk pinjaman mudah di mana peminjam hanya perlu membayar semula jumlah yang dipinjam tanpa dikenakan sebarang caj keuntungan. “Tempoh pembayaran pula bermula setahun selepas pelajar tamatkan pengajian di mana kita mengandaikan ketika itu mereka sudah berjaya mendapat tempat untuk bekerja. “Wang ini kemudian boleh digunakan untuk membantu pelajar lain yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan kewangan,” katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/206807