BERNAMA : Berita Utara

June 19, 2016 16:31 PM

600 Pelajar Tingkatan Lima Di Kedah Dapat Manfaat Tuisyen Barakah

SUNGAI PETANI, 19 Jun (Bernama) — Seramai 600 pelajar Tingkatan Lima di negeri ini yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat manfaat daripada pelaksanaan Tuisyen Barakah Kedah 2016 yang bermula awal bulan ini.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, tuisyen berkenaan yang diadakan tanpa sebarang bayaran diharap dapat membantu melonjakkan prestasi kecemerlangan akademik pelajar.

“Tuisyen yang dikendalikan Gabungan Pelajar Melayu Semenjung (GPMS) ini bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar, khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya percaya melalui tuisyen ini serta bantuan tenaga pengajar dari luar, akan memberikan tambahan semangat kepada pelajar untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pusat Tuisyen Barakah 2016 Parlimen Merbok dan Majlis Jaya Waris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Selambau di sini, Ahad.

Sementara itu, Tajul Urus berkata, pelajar di kawasan luar bandar tidak seharusnya dibiarkan hanya kerana banyak kekurangan dari segi kemudahan.

“Kita tahu kekurangan kemudahan di luar bandar selain kurangnya daya saing sekolah, pelajar dan ibu bapa itu sendiri, sebab itu mereka perlu dibantu dalam usaha melahirkan anak-anak luar bandar yang berjaya dalam pelbagai bidang kelak.

“Sebanyak 15 pusat tuisyen di 15 kawasan Parlimen sudahpun beroperasi sejak 1 Jun lalu yang mana selain mengajar dua subjek utama iaitu Matematik dan Sains, pelajar akan turut didedahkan dengan peluang kerjaya dan motivasi untuk menyuntik semangat mereka,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi GPMS Kedah Shamsul Bahar Abd Rani.

Shamsul Bahar berkata, bagi kawasan Parlimen Merbok, seramai 40 pelajar Tingkatan Lima SMK Bukit Selambau, yang berpotensi dalam akademik dan tiada masalah disiplin, terpilih mengikuti Tuisyen Barakah yang diadakan di sekolah berkenaan.

BERNAMA