KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membidas desakan MCA yang menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah Cina bagi kemasukan universiti awam (UA). Presidennya, Zambri Mohd Isa, berkata kerajaan tidak boleh mengiktiraf UEC kerana ia tidak menepati piawaian dasar pendidikan kebangsaan, selain bakal mewujudkan dua sistem peperiksaan di negara ini. Katanya, ketelusan UEC juga diragui kerana dikendalikan badan persendirian iaitu Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina. “GPMS dengan sekeras-kerasnya menolak sebarang pengiktirafan ke atas peperiksaan UEC kerana ia tidak menepati piawaian dasar pendidikan kebangsaan kerana mengguna pakai kurikulum yang ‘diciplak’ dari Taiwan. “Sekiranya lepasan UEC dibenarkan memasuki UA, ia adalah tidak adil kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ia menepati piawaian dasar pendidikan kebangsaan. “GPMS juga bertegas tidak harus wujud sistem pendidikan pelbagai aliran, terutama berasaskan kaum. Gesaan MCA meruntuhkan integrasi nasional dan memburukkan polemik perkauman di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa kerajaan mempercepatkan proses mengiktiraf UEC sekolah Cina bagi kemasukan UA ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA Ke-63.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/212767