Dua orang ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) adalah antara 28 peserta dari seluruh negara terpilih menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara & Jepun (SSEAYP) kali ke-43 bagi tahun 2016.

Mereka yang terpilih itu Ahmad Salman Bin Suhaimi dari GPMS Cawangan Khas UniKL MIMET dan Nur Atiqqa Natasha Binti Zoo dari GPMS Cawangan Khas UIA, bakal mengikuti program anjuran Kabinet Kerajaan Jepun dengan kolaborasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mulai 25 Oktober hingga 15 Disember ini iaitu selama 53 hari.

Mereka memohon bagi menyertai program itu melalui Biro Antarabangsa Dan Diplomatik GPMS Kebangsaan yang mana program ini diselia oleh KBS pada Februari lalu serta mengikuti ujian psikologi termasuk Kem Pemilihan yang diadakan selama tiga hari untuk menilai seramai 121 belia dari seluruh negara.

Salman dan Atiqqa bersama 28 peserta lain dari seluruh negara bakal menyertai Program ‘Japan-ASEAN Youth Leader Summit’ di Jepun pada 1 November terlebih dahulu sebelum berlayar ke Vietnam pada 4 November menaiki kapal Nippon Maru.

Mereka akan tinggal di Vietnam selama empat hari, kemudian di Thailand juga empat hari, diikuti Singapura dan Indonesia dalam rangka pelayaran itu sebelum kembali ke Jepun semula

SSEAYP adalah sebuah program yang melibatkan golongan belia dari Asia Tenggara yang dilaksanakan sejak 1974 hasil perjanjian persefahaman antara Jepun dan lima negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia sendiri.

Seramai 330 belia dari negara Jepun dan 10 negara Asia Tenggara turut menyertai program itu.

14753783_10205787369882250_4616448976299265738_o

14424808_682144418634692_9043212292360421939_o